Tuesday, July 23, 2013

JAHIL (1)

Angin berlalu laju, menyapa tubuh Adha, menandakan hujan lebat bakal membasahi bumi kuantan. Awan gelap sudah mula menunjukkan kelibat. Adha yang dari tadi termenung mengenangkan keluarga dirumah terus tersentak dengan dentuman guruh mendongak ke langit. Awan seakan-akan memahami isi hati Adha yang cukup berat meninggalkan keluarga. Satu persatu rahmat tuhan gugur menyinggah ke bumi, memantulkan bunyi yang cukup mendamaikan hati. Bagi Adha, dia tidak pernah berenggang dengan keluarga, bahkan ketika usia menjengah 16 tahun, tawaran untuk ke asrama penuh juga ditolak mentah-mentah dengan alasan yang agak klise namun ada benarnya, 

“Duduk dekat asrama tak semestinya bagus, ramai je sekolah biasa-biasa yang berjaya”.

Hari ini merupakan hari pertama Adha menjejakkan kaki ke alam universiti. Membawa nama sebagai pelajar asasi undang-undang, dia agak berbangga namun sedikit terkilan kerana terpaksa meninggalkan cita-cita yang ditanam sejak di bangku sekolah iaitu menjadi seorang juruterbang. Setiap kali bunyi kapal terbang memecah ruang udara langit, dia tidak pernah lokek mendongakkan muka lantas bermonolog dalaman, 

“Satu hari nanti aku sendiri yang akan terbangkan burung gergasi itu!”. 

 Impian itu ditinggalkan demi sekalung ijazah yang ingin digenggam. Bisik hati kecil Adha

“Nanti orang cakap apa pula kalau tiada ijazah? Takde pendidikan? Lagipun manusia itu diangkat juga kerana ilmunya. Takpela, bidang undang-undang juga cita-cita aku sejak di tingkatan 2”.

Bunyi tombol digenggam didengari, dengan pantas Adha mengalihkan perhatian. Satu kelibat manusia memasuki ruang bilik Adha yang begitu kecil baginya. 

“makkk!”

 Dengan gembira Adha menyambut kehadiran ibunya yang sedang memikul bantal. 

“Nah adik, ni bantal mak da tukar sarung dia, cadar kat katil adik pun mak da tukar. Mak balik dulu tau, esok mak kerja”. 

Kegembiraan yang dirasai cuma sementara. Setelah mencium tangan ibunya, dengan sedikit nasihat agar menjadikan pelajaran sebagai yang utama, ibunya berlalu pergi. Adha bertegah tidak mahu melihat ibunya pergi, takut hatinya akan lebih sedih. Dia terus membuka langkah pulang semula ke bilik dan duduk.


Ibarat layang-layang tanpa talinya, dia duduk termenung tanpa mengetahui apa harus dibuat selain termenung. 

“ahhh.. bosannya!”.

 Hati kecilnya sedikit memberontak. Bunyi guruh sabung-menyabung tidak mampu menutup bunyi riuh diluar bilik Adha. Lantas dia menjenguk, meilhatkan kehadiran pelajar-pelajar baru sudah semakin ramai, dia mengambil keputusan untuk berada diluar. Dengan niat menambah kenalan dibumi orang, dia seakan-akan benar-benar asing. Bahasa slanga yang digunakan menutup pemahaman Adha. 

“ha? Jadah apa diorang mencarut ni?” 

No comments: