Monday, September 30, 2013

JAHIL (5)

Gadis tadi dengan tenang dan ramah menyapa Adha. “Nama awak siapa?”

“Adha. Awak?” Dengan cepat Adha menjawab. 

“Erisha. Nur Elya Erisha.” Jawapan diberi disisip dengan senyuman sebagai tanda persahabatan terjalin.

“Cantik nama, macam tuan dia”. Puji Adha kepada Erisya. Erisya hanya mampu tersenyum malu dengan pujian yang diterima.

Belum sempat Adha meneruskan perbualan pensyarah sudah pun masuk ke dalam bilik kuliah tersebut. Dari raut wajah pensyarah, orangnya kelihatan sungguh serius. Berkaca mata, segak dan tinggi, dalam lingkungan umur 30-an. Masih muda. Salam diberi sebelum mereka diminta untuk membeli buku teks yang telah disarankan bagi kegunaan sepanjang semester pertama ini. Hanya sepatah dua kata yang diberi sebelum pelajar-pelajar kumpulan I diminta untuk bersurai.

Ucapan selamat tinggal sempat diberi oleh Adha kepada Erisya sebelum Adha mengangkat kaki beredar dari bilik kuliah tersebut. Perkara yang bermain di kotak minda Adha cuma dua, menu makanan yang hendak dimakan dan kedai buku yang menjual buku tersebut. Keadaan yang agak riuh di ruang legar di hadapan papan kenyataan membuatkan Adha lemas dan berhasrat untuk terus pulang ke bilik. Nafsu lapar yang memuncak terus tenggelam dalam kealpaan keinginan untuk berehat di bilik berbanding berjalan kaki untuk membeli sarapan. Detik hati Adha, mungkin dia hanya akan makan di waktu tengahari nanti sebelum kuliah Bahasa Inggeris bermula.

Beg yang digendong daripada tadi diletakkan di atas kerusi. Adha terus membenamkan diri di atas keempukkan tilam. Tirai mata dilabuhkan dengan niat merehatkan minda yang penat dalam kekosongan hidup. Dia cuba menyisipkan pelan jangka pendek dalam ruang dan waktu yang ada. Masa dan peluang yang ada tidak harus disia-siakan. Kelak merana diri dalam kealpaan dunia. Dalam kegelapan pancaindera, kotak minda menyusun strategi, hati memerah motivasi, agar diri terus bersemadi, dalam ranjau dan onak sehari-hari.

“Okay Adha, kau kene bergerak, rangka apa pelan dan rancangan yang kau nak buat”. Adha bermonolog.

Jasad yang tadi terdampar dalam keempukkan tilam dibangunkan dengan kudrat yang tersimpan yang dipulas-pulas agar sesuatu yang bermanfaat dapat disemai dalam aktiviti Adha di pagi hari. Buku nota yang tertulis rapi nama Wan Mohd Aidil Adha dikeluarkan dari beg berjenama Nike. Pen Stabilo yang masih berlabelkan tanda harga juga dibawa keluar. Satu demi satu senarai perkara yang hendak dilakukan dicatat agar ia tersemat kemas dalam diri Adha.

“Okay siap! Eh, ada satu lagi yang belum tulis. Hmm, nombor telefon Erisya. Haha” Gelak Adha dalam sandiwara sendiri.


“Tok! Tok! Tok!” Bunyi pintu bilik diketuk.

Gelombang bunyi hasil getaran dan geselan antara tangan si pelaku dan pintu sampai tepat ke gegendang telinga Adha. Langkah diambil, dengan pantas Adha membuka pintu bilik. Kelihatan kelibat seorang lelaki yang agak pendek, namun kacak dan jambu orangnya.

Terdetik di hati Adha berasimilasikan raut wajah yang penuh tanda tanya. “Astaghfirullahaladzim. Betul la kawan-kawan aku cakap. Masuk ‘U’ ni banyak bapok-bapok dan golongan gay”.

Soalan dilontar oleh Adha. “Cari siapa?”

“Kau budak group I jugak kan? Nak join kitorang pegi breakfast tak?” Jawab remaja lelaki tersebut sambil jari menunding ke arah dua orang lelaki yang berdiri di sebelahnya.

“Mak aku cakap jangan keluar dengan orang yang tak dikenali”. Jawab Adha.

“Haha. Menganjing ke apa? Nama aku Safwan, yang gelap-gelap ni Amar dan botak ni askar”. Kata Safwan.

“Askar? Siapa yang bagi nama kau ni?” Balas Adha.

“Nama aku Afif la celaka. Suka suki je bapok ni,” celah Afif.

“Mungkin rambut kau macam baru keluar kem tentera kot. Takpe-takpe, tunggu kejap. Nak ambil wallet aku kejap”. Minta Adha untuk mereka tunggu sebentar di hadapan bilik.