Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

Sunday, July 28, 2013

JAHIL (4)

“kringgg! Kringgg!”

Dengan pantas penggera jam ditutup. Jasad yang dipacu ibarat mayat hidup. Lemah longlai memasuki ruang bilik air. Selesai mandi dan berwudhuk, solat subuh didirikan. Salam diberi di kiri dan kanan menandakan Adha sudah selesai menunaikan ibadah pembuka bagi hari pertama kuliah beliau. Doa dipohon dari pemberi rahmat seisi alam agar hari-hari yang mendatang bakal ditempuh dengan tenang dan mudah. 

Cabaran bagi Adha dihari pertama tidak lain tidak bukan adalah rakan sekelas. Senyum dilempar tatkala Adha menuruni tangga. Mata melilau mencari nama di dalam senarai pelajar, dia tidak tahu apa yang diharapkan olehnya melainkan kekaburan matlamat yang bermain di minda pengelola jasad.

“Haa, ni pun nama aku. Group I”. Adha bermonolog dalaman.

Tiba-tiba kedengaran satu suara menyapa Adha dengan lembut. 

“Maaf, tumpang tanya, awak group I jugak ke? Kelas kt mana ye?” Soal si gadis yang berada betul-betul di belakang Adha.

Orangnya sederhana tinggi, berkulit sawo matang, berbaju kurung merah menyala, rambutnya diikat rapi ke belakang, mukanya ada iras-iras bangsa Cina dan senyumannya cukup menawan. Sapaan gadis berbaju kurung tersebut membuatkan Adha mati kutu. Mulutnya terkunci, dia bagaikan disapa bidadari dunia.

Melihatkan keadaan Adha yang tidak menjawab pertanyaan, seraya gadis tersebut bertanya sekali lagi.

“Awak? Awak group I kan? Kelas dekat mana?” Sekali lagi dengan tenang gadis tersebut mengajukan soalan.

Adha tersentak. Raut wajahnya yang sebentar tadi tergamam memberikan reaksi positif. 

“Oh, hmm, dekat, dekat, ha, Bilik Kuliah 3. Dekat sebelah sini je,” jawab Adha sedikit tergagap.

Gadis tadi yang bertanyakan soalan terus beredar setelah ucapan terima kasih diberi. Adha hanya mengekorinya dari belakang. Tatkala jasad sudah berada di ruang Bilik Kuliah 3, kelihatan kelibat manusia yang sudah memenuhi ruang kosong. Kehadiran Adha dan gadis tadi sedikit pun tidak diendah oleh rakan-rakan sekelasnya yang lain. Adha yang daripada tadi terpacak di hadapan pintu masuk meninjau-ninjau tempat duduk yang masih kosong dipanggil oleh gadis yang menegurnya di hadapan papan kenyataan.

“Awak! Sini, sini. Sini kosong takde orang duduk,” jerit gadis tersebut.


Tanpa sepatah kata, Adha hanya menurut kata dan duduk di sebelah gadis itu. Tubuhnya kaku, suasana janggal mula merasuk diri. Tiada kata yang keluar melainkan lenggok badan dan senyuman yang dilempar oleh Adha sebagai tanda terima kasih. Nota dan pen dibawa keluar. Terdetik rasa sesal di hati Adha kerana menurut kata tanpa terlebih dahulu meninjau andai ada kekosongan di tempat lain.

Thursday, July 25, 2013

JAHIL (3)

Sudah seminggu berlalunya cuti khas setelah selesai sessi orientasi bagi kemasukkan pelajar baru. Esok merupakan hari pertama bagi kuliah pertama Adha. Seperti biasa, mulut Adha terkunci, hatinya masih meratapi kerinduan yang dipendam. Kali ini Adha pulang ke Kuantan seiring dengan rakan-rakan yang baru dikenali semasa minggu orientasi, Az dan Amir rakan sebiliknya. Ketibaan Adha disambut baik oleh mereka. Beg diletak di ruang simpanan bagasi, langkah diambil menaiki bas PlusLiner. 

Setibanya mereka di bumi Kuantan, mata Adha liar mencari teksi. Suasana di terminal bas kuantan agak riuh dengan kehadiran pelancong dan juga pelajar-pelajar. Pelajar senior juga sudah pun pulang dari cuti yang panjang dan akan memulakan kuliah serentak dengan pelajar-pelajar baru. Tenaga dikumpul, suara dilontarkan dengan lantang dan kuat.

“pakcik! Pakcik!” Jerit Adha.

Satu demi satu langkah diambil, dengan perlahan menuju ke Adha.
Wajah Adha sudah mula berkerut. Adha mula bermonolog dalaman sambil merungut. 

“Ahh, lembapnya pakcik ni, dah la tengah penat ni”.

Sapaan diberi, soalan diaju oleh si pemandu teksi tersebut. 

“Ye dik, adik nak kemana?”

“Padang Lalang. Berapa ye kene bayar?” Soal Adha.

“RM10 je dik” Jawab si pemandu teksi dengan tenang.

Melihatkan keadaan teksi disana yang tidak menggunakan meter seperti di Kuala Lumpur, Adha menerima sahaja. Sudah dapat menjangkakan pemandu disana mengambil kesempatan dengan tidak menggunakan meter seperti yang telah ditetapkan.


Berpijaknya Adha dan rakan-rakan dikampus, dengan pantas bagasi diambil, wang dihulur dan terus mengorak langkah mendaki tangga. Sapaan pada jiran bilik langsung tidak diberi. Adha bukanlah seorang yang peramah dan mudah untuk memulakan perbualan, apatah lagi untuk menjalinkan persahabatan. Tiada perkara yang lebih indah dan seronok bagi Adha untuk dilakukan selain tidur. 

Malam sudah menjengah, suasana sepi mula menghadirkan diri. Bulan yang dari tadi melihatkan kelibat seolah-olah menyinarkan pancaran selamat malam pada Adha. Seperti biasa, walaupun Adha bukanlah seorang yang warak, namun menjadi kebiasaan bagi dia untuk setiap kali sebelum memulakan pelayaran bahtera di alam mimpi akan didahului dengan wudhu dan disudahi dengan doa. 

Wednesday, July 24, 2013

JAHIL (2)

“Assalamualaikum warahmatullah. Assalamualaikum warahmatullah”

Salam diberi dikiri dan kanan menandakan Adha sudah selesai mendirikan solat fardhu Maghrib. Jarum jam tepat menunjukkan pukul 7.45 minit malam. Suara riuh dikoridor sudah mula menjadi santapan dimalam hari. 

“eh, awalnya diorang turun untuk taklimat”. 

Melihatkan gelagat mereka yang berlari-lari anak bergegas turun ke dewan, dengan pantas Adha mencapai jam tangan dan buku nota untuk dibawa bersama. Amir, rakan sebilik Adha baru sahaja hendak mendirikan solat. Langkah diatur, dengan tenang dia menuruni tangga. Memasuki ruang dewan, dia mengambil posisi paling belakang di dalam dewan tersebut.

“Assalamualaiku warahmatullah hiwabarokatuh pelajar-pelajar sekalian..”

Mendapat khabar minggu orientasi akan bermula esok hari dan bas akan bertolak tepat pada pukul 7.30 pagi bukanlah satu khabar gembira bagi Adha. Selesai sessi taklimat, Adha tidak banyak kerenah. Dengan segera wudhu diambil, doa dibaca dan mulalah pelayaran bahteranya di alam mimpi yang lebih indah bagi dia tatkala ini.

“kringgg!!! Kringg!!!”

“Da pukul 6 da? Haihhh.. rasa macam baru lelap je” Rungut si Adha sambil memerah keringat mengumpul daya untuk bangun menunaikan solat. 

Pagi Isnin itu disambut dengan sapaan si burung. Langit cantik yang berdiri megah tanpa tiang menjadi santapan buat mata-mata makhluk di atas muka bumi ciptaan tuhan yang Esa. Tiada satu matlamat mahupun harapan yang tersemat di hati Adha melainkan menanti detik berakhirnya minggu orientasi tersebut.

“Bangun! Bangun! Turun cepat! Siapa lambat, kitorang tinggal!”

“Ishhh! Pagi-pagi da memekak fasi-fasi ni. Humban keluar baru tahu”

“vroom! Vroom!”

Bas meluncur laju meninggalkan bumi Kuantan berarahkan bumi Jengka. Bermulalah minggu orientasi. Seperti biasa, Adha mengambil tempat duduk kedua dari belakang. Bertongkatkan dagu, mengenangkan nasib pengabdian dia pada pendidikan demi masa depan yang kurang pasti. Hanya pokok dan langit menjadi teman. Jasad kaku tanpa fikiran yang terbang mencari keseronokkan dunia. Akhirnya rumah menjadi pilihan. Ciuman diberi pada kotak mesin yang memancarkan siaran, dan mesin yang menjadi kegilaannya sejak kecil. Segalanya sunyi. Dia benar-benar lena dibuai mimpi yang indah. Sekali sekala terasa pergerakkan bas yang meluncur laju.

“Kau nak aku mampus ke apa bawak bas laju-laju?”.

Terbit rasa amarah terhadap sikap pemandu yang memandu bagaikan anjing gila. Lenanya diganggu, indahnya dicuri, kesunyiannya dipandu pergi oleh bunyi enjin bas yang memecut laju.

“Okay! Kita da sampai. Saya nak kamu semua bentuk kumpulan, satu kumpulan 4 orang. Senang cerita satu bilik 4 orang. Beratur di sana, ambil kunci bilik, bantal dan cadar. Tepat pukul 7, beratur di padang kawad bawah ni ye untuk ke masjid”



Arahan diberikan sebaik sahaja mereka tiba ke destinasi. 

Tuesday, July 23, 2013

JAHIL (1)

Angin berlalu laju, menyapa tubuh Adha, menandakan hujan lebat bakal membasahi bumi kuantan. Awan gelap sudah mula menunjukkan kelibat. Adha yang dari tadi termenung mengenangkan keluarga dirumah terus tersentak dengan dentuman guruh mendongak ke langit. Awan seakan-akan memahami isi hati Adha yang cukup berat meninggalkan keluarga. Satu persatu rahmat tuhan gugur menyinggah ke bumi, memantulkan bunyi yang cukup mendamaikan hati. Bagi Adha, dia tidak pernah berenggang dengan keluarga, bahkan ketika usia menjengah 16 tahun, tawaran untuk ke asrama penuh juga ditolak mentah-mentah dengan alasan yang agak klise namun ada benarnya, 

“Duduk dekat asrama tak semestinya bagus, ramai je sekolah biasa-biasa yang berjaya”.

Hari ini merupakan hari pertama Adha menjejakkan kaki ke alam universiti. Membawa nama sebagai pelajar asasi undang-undang, dia agak berbangga namun sedikit terkilan kerana terpaksa meninggalkan cita-cita yang ditanam sejak di bangku sekolah iaitu menjadi seorang juruterbang. Setiap kali bunyi kapal terbang memecah ruang udara langit, dia tidak pernah lokek mendongakkan muka lantas bermonolog dalaman, 

“Satu hari nanti aku sendiri yang akan terbangkan burung gergasi itu!”. 

 Impian itu ditinggalkan demi sekalung ijazah yang ingin digenggam. Bisik hati kecil Adha

“Nanti orang cakap apa pula kalau tiada ijazah? Takde pendidikan? Lagipun manusia itu diangkat juga kerana ilmunya. Takpela, bidang undang-undang juga cita-cita aku sejak di tingkatan 2”.

Bunyi tombol digenggam didengari, dengan pantas Adha mengalihkan perhatian. Satu kelibat manusia memasuki ruang bilik Adha yang begitu kecil baginya. 

“makkk!”

 Dengan gembira Adha menyambut kehadiran ibunya yang sedang memikul bantal. 

“Nah adik, ni bantal mak da tukar sarung dia, cadar kat katil adik pun mak da tukar. Mak balik dulu tau, esok mak kerja”. 

Kegembiraan yang dirasai cuma sementara. Setelah mencium tangan ibunya, dengan sedikit nasihat agar menjadikan pelajaran sebagai yang utama, ibunya berlalu pergi. Adha bertegah tidak mahu melihat ibunya pergi, takut hatinya akan lebih sedih. Dia terus membuka langkah pulang semula ke bilik dan duduk.


Ibarat layang-layang tanpa talinya, dia duduk termenung tanpa mengetahui apa harus dibuat selain termenung. 

“ahhh.. bosannya!”.

 Hati kecilnya sedikit memberontak. Bunyi guruh sabung-menyabung tidak mampu menutup bunyi riuh diluar bilik Adha. Lantas dia menjenguk, meilhatkan kehadiran pelajar-pelajar baru sudah semakin ramai, dia mengambil keputusan untuk berada diluar. Dengan niat menambah kenalan dibumi orang, dia seakan-akan benar-benar asing. Bahasa slanga yang digunakan menutup pemahaman Adha. 

“ha? Jadah apa diorang mencarut ni?”